Sunday, July 20, 2008

6. Terembo Diturun Pada Waris Menyandang

Orang Melayu Minangkabau lebih pandai daripada orang Biduanda, maka dapatlah mereka kembangkan adat-istiadat Minangkabau tanpa pertumpahan darah, peperangan dan paksaan, melainkan dengan perundingan, persetiaan dan persemendaan mengikut ajaran Dato’ Perpatih dengan dasar tak merosakkan rakyat Jelebu. Mengikut adat ini sebelah pihak perempuan mewarisi apa-apa jawatan dalam adat Perpatih dan menjadi amalan dalam pentadbiran adat. Ia mula dikuatkuasakan pada zaman Dato’ Gombak menjawat jawatan Batin.

Selepas Dato’ Gombak, jawatan Batin Jelebu diwarisi perut (keturunan) Moyang Angsa bernama Moyang Acheh. Seperti ibunya, Moyang Acheh juga bersuamikan orang kenamaan dari Pagaruyong bernama Dato’ Mentunggang, lalu dilantik menjadi Penghulu Jelebu.

Ibu saudara Moyang Acheh (adik Moyang Angsa) berkahwin dengan orang Jelebu, maka darinyalah turun jurai jawatan yang dipusakai olah Waris Biduanda Sasilah. Kawasan kediaman mereka meliputi Ulu Teriang hingga Gunung Hantu.

Sungguhpun adat dan luak-luak itu asalnya dibawa dari tanah Minangkabau, tapi pertumbuhannya dalam Luak Jelebu berlainan mengikut keadaan dan perkembangan zaman.

Orang bergelar dan bernama dalam adat diterima dan disegani orang ramai (rakyat), maka tugas mereka menyebar adat diterima rakyat dengan senang hati.

Menurut kata adat: Ada hak masing-masing umpama hak sawah ado lopaknya macam buah durian ado ruangnya. Terembo (Kata-kata adat) diturunkan kepada orang yang layak menyandang pusaka, iaitu dengan kata-kata lisan sahaja.

Kata-kata adat dianggap pedoman yang baik hingga dijadikan kata perbilangan yang selalu dilafazkan: Tak lapok dek hujan, tak lekang dek panas; ada alam adalah adat.

Thursday, July 17, 2008

5. Kisah Moyang Angsa dan Kemat Jelebu

Dengan izin Sultan Johor, serombongan orang Melayu Minangkabau diketuai Dato’ Gombak memudiki Sungai Muar, mendarat di Ulu Muar (kini dalam daerah Kuala Pilah), dan menyusur Genting Langkap hingga sampai ke Ulu Kelembang dan akhirnya keluar di Ulu Sungai Lumur, Jelebu. Tujuan rombongan ini ialah hendak mengajar Waris-waris Biduanda tentang adat dan cara pemerintahan di Pagar Ruyong, Minangkabau.

Sampai di tanah Jelebu Dato' Gombak bertemu dengan Angsa, seorang gadis yang sangat jelita anak orang bergelar Batin Jenang Singa Raja Setia. Apa lagi Dato' Gombak pun rindu dendam pada Angsa. Dia rupanya terkena penyakit "Tidur tak lena, makan tak kenyang, mandi tak basah".

Kalau Pulau Langkawi gah dengan Mahsuri yang cantik jelita, Negeri Pahang dengan Tun Tijah, Kerajaan Melaka dengan Tun Kudu dan Majapahit dengan Radin Galohnya. Jelebu pun apa kurangnya. Moyang Angsalah saingannya.

Tapi orang Jelebu merendah diri dan jarang berterus terang. Kalau mutiara tersembunyi dalam cengkerang tiram, maka kecantikan Moyang Angsa disembunyikan dalam pantun. Maka dipantunkan oleh orang dulu-dulu, begini bunyinya:

Jelebak Jelebu
Tuai Padi Tigo Tangkai
Kalau Keno Kemat Jelebu
Tak Mati Badan Merasai.


Maka Dato' Gombak pun berkahwin dengan Moyang Angsa. Sejak perkahwinan itulah Adat Perpatih berkembang sehingga menjadi dasar pemerintahan dan tata susila hidup orang di Jelebu.

Semua orang Jelebu bersetuju dengan pelantikan Dato' Gombak sebagai pemerintah Jelebu dan menjadi ketua kaum di situ, setelah dia berkahwin dengan Moyang Angsa walaupun hak memerintah itu sebenarnya milik isterinya Moyang Angsa.

Sungguhpun Dato' Gombak yang memerintah tapi mengikut adat, kunci pemerintahan ialah di tangan Moyang Angsa. Hal ini telah diwartakan kepada Sultan Johor dan baginda juga bersetuju.

Setelah mendapat pesetujuan Sultan Johor, Dato' Gombak diterima menjadi Penghulu Jelebu oleh pihak Batin dan orang ramai.

*******************************************************************************
Nota Kaki: Luak (Daerah) Jelebu itu mulanya menjadi jajahan takluk ke bawah kuasa Kerajaan Majapahit di Tanah Jawa. Kemudian masuk ke bawah kuasa Kerajaan Melayu Melaka dan akhirnya ke bawah kuasa Kerajaan Johor. Seperti kata perbilangan adat: "Beraja ke Johor, bertuan ke Minangkabau."

Begitu rupanya adat orang Melayu bermain politik!

Tuesday, July 15, 2008

4. Munculnya Keturunan Biduanda Waris Undang

Semasa pemerintahan Batin Galang II (Jenang Singa Raja Setia) diadakan perjumpaan antara orang Biduanda Waris (orang Melayu Jelebu hasil perkahwinan campur anak-anak dara Biduanda Asli dengan orang Minangkabau sejak zaman pemerintahan Batin Terjali hingga Batin Galang) dengan orang Melayu Minangkabau (khusus untuk orang Minangkabau yang datang ke Jelebu zaman pasca pemerintahan Batin Galang) di Bukit Galenggang lalu mereka membuat persetiaan. Kedua-dua belah pihak telah bersetujui diletakkan dua benda:

i. Sesikat pisang dan kain sarung.
ii. Daun setawar dan kulit terap.


Orang-orang Biduanda Sasilah (Biduanda Waris Batin) telah disuruh memilih antara dua benda itu.

Biduanda yang perempuan memilih pisang dan kain sarung, lalu mereka memeluk agama Islam. Susur-galur keturunan ini terus tinggal di kampung-kampung di seluruh tanah Jelebu.

Tetapi Biduanda yang lelakinya telah berkeras memilih daun setawar dan kulit terap dan mereka tidak mahu memeluk Islam, lalu balik ke tempat asal mereka di bukit-bukit di seluruh tanah Jelebu. Keturunan Biduanda Lelaki Sasilah hingga kini ada juga lagi hidup berasingan mengikut kesusilaan mereka sendiri.

Beberapa lama kemudian pemerintahan Batin Jenang Singa Raja Setia diganti oleh anak perempuannya yang bernama Angsa (terkenal dengan gelaran Moyang Angsa) dari keturunan Biduanda Perempuan Sasilah yang beragama Islam, kini dikenali Biduanda Waris Undang.

Monday, July 14, 2008

3. Asas Sempadan Tanah Jelebu

Batin muda Lambung Setia Raja dan Menterinya Shah Alam Raja Sehari mengembara lagi dari Kuala Dulang hingga ke Ulu Teriang (kini meliputi Kampung-kampung Larong, Mengkan, Pianggu, Petaling, Pecah Mantin, Teriang Tengah, Sepam, Durian Gasing, Chenderak, Gagu dan Seperi) mencari tempat yang lebih baik dan bersesuaian dengan mereka. Di situlah mereka membuka tanah. Batin Lambung Setia Raja mengubah nama menjadi Batin Maha Gelang.

Orang Biduanda Waris telah berkembang biak. Susur galur keturunan Batin Maha Gelang dikenali sebagai Biduanda Waris Batin (sasilah raja yang memerintah). Susur galur keturunan Menteri Shah Alam Raja Sehari dikenali sebagai Biduanda Waris Menteri (penasihat raja yang memerintah).

Sempadan tanah Jelebu untuk mereka bangunkan telah terlebih dahulu ditandakan oleh Batin Tua Terjali di Gunung Pertemuan seperti berikut:

i. Sempadan di antara Jelebu dengan Johol (kini dalam Daerah Kuala Pilah) ialah tempat bernama Leban Besi, Batu Berinding Lantak dan Temiang Tumpat.

ii. Sempadan di antara Jelebu dengan Semujong (kini Daerah Seremban) ialah tempat bernama Semambu Serumpun dan Nibong Tengah Air Bukit Tangga.

iii. Sempadan di antara Jelebu dengan Kelang (kini Negeri Selangor Darul Ehsan) ialah tempat bernama Lembah Bergoyang, Pulau Bersila dan Genting Piras.

iv. Sempadan di antara Jelebu dengan Pahang (kini Negeri Pahang Darul Makmur) pula ialah Merbau Seratus, Meranti Sembilan dan Bukit Batu Bulan.


Setelah ditanda semua batu sempadan itu, dan dimasyhurkan keseluruh tanah Jelebu maka Batin Maha Gelang melantik Jenang Singa Raja Setia menggantikannya menjadi Batin Jelebu. Beberapa lama kemudian Batin Jenang Singa Raja diganti pula oleh anak perempuannya yang bernama Moyang Angsa.

Sunday, July 13, 2008

2.2 Masjid Kuala Dulang Masjid Tertua Tanah Jelebu

Satu ketika, kira-kira pada abad ke-16 masihi, Dato’ Gamboh (Raja Khatib) dan Dato’ Nika dari Pagar Ruyong Minangkabau keluar ziarah untuk mengislamkan penduduk asli (tempatan) Ulu Pahang dan kawasan-kawasan sekitarnya dalam jajahan Kesultanan Johor Lama. Setelah mendapat izin dari Sultan Johor, Raja Khatib mengembara mengikut jalan Laut China Selatan, mudik di sungai Pahang, menyusur Sungai Teriang, lalu sampai ke tanah Jelebu.

Di tempat bernama Juntai dia turun dari perahunya dan berdiri di atas hamparan pasir di tebing sungai (kini Kampung Pasir Panggil) lalu melaungkan azan menyeru orang di situ memeluk Islam. Orang yang menyahut seruan Raja Khatib telah ikut mudik ke hulu sungai (kini meliputi Kampung-kampung dari Juntai, Petasih, Pergai, Solok Temoi, Peradong, Kuala Pah, Simpang Gelami, Relai, Kampai, Chenor, Jelin dan Bandar Tinggi) hingga sampai ke Kuala Lumut (kini Kampung Jelebu Tengah/Pekan Kuala Klawang). Di Kuala Lumut ia berjumpa Waris Biduanda Tua, seorang perempuan bernama Moyang Angsa dan mengislamkannya.

Di Kuala Dulang yang dianggap kawasan keramat di tanah Jelebu (kini dikenali tebing sungai Kampung Peninjau) Raja Khatib dan Dato’ Nika mendirikan sebuah bangsal beratap ijuk sebagai tempat berteduh dan markas mengajar orang-orang biduanda di sekitar kawasan itu mendalami ilmu Islam.

Bangsal beratap ijuk ini mempunyai kisah yang penuh misteri kerana berlaku kehadiran dulang berisi sajian makanan yang tidak diketahui siapa menghidangkannya. Walau seramai mana pun jemaah yang hadir untuk belajar tentang agama Islam di bangsal itu, makanan yang sedia terhidang itu sentiasa cukup untuk semua jemaah tanpa perlu ditambah. Kejadian ini berlarutan sehinggalah Raja Khatib telah habis mudik sehingga jauh ke Ulu Jelebu (kini meliputi Kampung-kampung Chepam, Guntong, Bukit, Kelembang dan Ulu Jelebu) dan seluruh kawasan Ulu Kelawang (kini meliputi Kampung-kampung Batu Piatu, Binjai, Tembon, Kemin, Tanjong, Jambatan Serong, Lalang, Batu Serambai, Batu Seremban, Renal, Bukit, Pengenting, Tanjong Berangan, Tanjong Chacha, Kelaka, Sg. Gunong Daun, Rambai Baris, Batu Tangga dan Ulu Kelawang), dan telah mengislamkan orang-orang biduanda di seluruh kawasan tersebut.

Menurut orang tua-tua tanah Jelebu, Bangsal Beratap Ijuk itulah bangunan asal Masjid Kuala Dulang yang merupakan masjid tertua di Tanah Jelebu. Ia diasaskan oleh Ulamak terbilang Raja Khatib dan Dato’ Nika iaitu zaman awal Islam tersebar di tanah Jelebu ini. Tapaknya terletak di atas tebing sungai Kampung Peninjau, kira-kira lima kilometer dari Pekan Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan.

Friday, July 11, 2008

2.1. Menemui Tempat Keramat Kuala Dulang

Batin Etah salah seorang daripada waris Biduanda-Biduanda Jakun tanah Jelebu sangat kacak lagi perkasa orangnya. Beliau telah mengembara mencari pengalaman hidup hingga sampai di Pagar Ruyung. Di tanah Minangkabau ini dia bertemu jodoh dan mendapat seorang anak lelaki dinamakan Batin Terjali. Setelah remaja Batin Terjali balik ke Bukit Kundik, tanah Jelebu diiringi seorang kerabat raja Minangkabau bernama Sultan Alif.

Batin Terjali ada seorang anak lelaki bernama Lambung Setia Raja. Lambung Setia Raja ini sangat asyik (berminat) belajar ilmu pawang dan pernah berguru dengan segala pawang yang ada di tanah Jelebu dan juga di jajahan negeri Pahang yang bersempadan dengan tanah Jelebu. Setelah ilmunya cukup Lambung Setia Raja pun menjadi Pawang Besar di tanah Jelebu.

Sultan Alif pula mempunyai seorang anak lelaki bernama Shah Alam Raja Sehari yang handal dalam ilmu tetemeh; iaitu ilmu tilik yang diwarisi dari Pagar Ruyung, tanah Minangkabau.

Memikirkan dirinya telah berusia lanjut, Batin Terjali dan Sultan Alif mengadakan rundingan di Gunung Pertemuan. Dalam rundingan itu Batin Terjali dan Sultan Alif bersepakat melantik Lambung Setia Raja anak Batin Terjali menjadi Batin (Raja yang memerintah) dan Shah Alam Raja Sehari anak Sultan Alif menjadi menterinya (penasihat Raja yang memerintah). Keputusan rundingan ini pun disebarkan kepada kaum asli yang tinggal di sekitar Gunung Pertemuan itu.

Setelah menyandang jawatan yang dilantik, mereka berdua diperintah turun daripada Gunung Pertemuan. Batin Terjali dan Sultan Alif berpesan kepada anak mereka berdua: barang di mana mereka bertemu dengan nasi sedulang di situlah mereka kena meneroka tempat kediaman dan nasi sedulang itu hendaklah mereka berdua makan.

Setelah mendengar pesanan ayahnya itu Batin muda Lambung Setia Raja dan Menterinya Syah Alam Raja Sehari pun turun dari Gunung Pertemuan lalu mengembara untuk membuka negeri. Mereka berdua tiba di sebuah bukit bernama Bukit Buaian. Di kaki Bukit Buaian itu, di atas tebing kuala sungai mereka terjumpa sedulang nasi yang menunggu kedatangan mereka.

Kedua-duanya pun bekerjalah meneroka tempat di tebing kuala sungai itu menurut amanah ayah mereka (Batin tua dan Menteri tua). Setelah penat bekerja mereka pun makan nasi sedulang itu. Tempat itu terus dinamakan Kuala Dulang yang dianggap kawasan keramat di tanah Jelebu ini.

Wednesday, July 9, 2008

1.2. Labu tu istimewa pada orang Jelebu..

Bila abah tak kerja, saya selalu juga mengikutnya ke Kampung Mengkan rumah Wan Ngah Munah. Ini sekitar tahun 1969-1970an.

Sebenarnya Wan Ngah ini ialah isteri pertama kepada Tok Ngah saya; Y.A.M. Dato’ Mendika Mentri Akhir Zaman ul-Zaman Almarhum Dato’ Shahmar ud-Din bin Haji Abdul Rahman, Undang Luak Jelebu ke-13 dari Waris Kemin. Almarhum Tok Ngah memerintah Jelebu dari tahun 1945 hingga tahun 1962. Kata Wan Ngah, Almarhum Tok Ngah meninggal masa umur saya belum cukup setahun lagi. Sedih juga rasanya sebab saya tak sempat menyaksikan zaman kegemilangan Tok Ngah saya memerintah tanah Jelebu.

Isteri kedua Tok Ngah bernama Wan Taksiah tinggal di Ipoh, Perak. Rupanya ada juga kaum kerabat saya di Perak, tapi tak kenal langsung.....

Di rumah Wan Ngah keadaannya sunyi saja. Semua anaknya Cik Daud, Cik Derani, Cik Limah, Cik Deraman, Cik Siti dan Cik Adi tiada di rumah, sama ada sudah berkeluarga sendiri atau bekerja. Ibu Ros anakandanya yang bongsu belajar di institusi pengajian tinggi katanya.

Saya masih ingat, suatu hari dia bercerita tentang labu. Katanya labu ini adalah buah yang sangat istimewa pada orang Jelebu. Sejak dulu-dulu lagi setiap rumah orang Jelebu mesti ada menyimpan buah labu. Orang tu bukanlah anak Jelebu kalau tak kenal labu! Setiap orang Jelebu mesti tau tentang labu ni.

Katanya untuk menjadikan buah labu tahan lama, biarkan saja buah labu itu masak di batangnya. Tunggu sampai semua batang-batang labu itu telah mati, baru boleh dikutip buahnya. Buah labu yang dikutip itu dibersihkan, barulah boleh disimpan di dalam kepok (setor tempat menyimpan barang-barang).


Katanya buah labu ini sesuai dimakan oleh semua orang, baik kanak-kanak mau pun orang dewasa. Labu baik untuk kesihatan dan tak pernah ada orang Jelebu sakit dan mati sebab makan labu.

Katanya lagi labu ni banyak memberi pertolongan pada masa dharurat dan masa orang Jelebu dalam kesusahan. Kalau nak makan nasi tak ada lauk, labu pun boleh dibuat lauk. Orang Jelebu suka makan nasi dengan gulai masak lemak labu, pilih saja nak masak lemak manis ke nak masak lemak pedas.

Saya ingat lagi, hari itu Wan Ngah masak gulai labu lemak manis, dengan sambal tumis ikan bilis dan ikan baung sungai Kenaboi goreng berlada. Saya hanya makan nasi berlauk gulai labu lemak manis. Masakan Wan Ngah memang sedap.

Masa balik saya minta buah labu dari Wan Ngah. Saya kata nak suruh mak masak gulai labu lagi… sedap sangat! Wan Ngah hanya mengusap-usap ubun-ubun saya…